Assalamualaikum semua, semoga sihat hendaknya. Sebenarnya entri ini sepatutnya di postkan pada 16hb, iaitu pada Hari Malaysia. Ialah, bila masa cuti umum, keinginan untuk memasak semakin tinggi, sebab semua ahli keluarga ada di rumah. Hari ini saya hendak kongsikan satu lagi resepi mudah aitu Ikan Tongkol Masak Kari.
Pernah anak saya bertanyakan soalan kepada saya, "Mak, kenapa nak kongsikan resepi yang biasa dimasak, tak thrill lah. Mesti dah ramai yang tahu masakan tu." Saya pula mempunyai pendapat yang berbeza dengan anak saya, sebab saya bukannya Chef atau pakar masakan yang ada gulung ijazah dalam kulinari, saya hanyalah seorang wanita yang berkongsi apa sahaja masakan yang saya masak dirumah. Saya kira berkongsi apa sahaja yang saya masakkan mendatangkan lebih kepuasan, biarpun ianya hanya satu resepi yang mudah seperti yang pernah saya kongsikan sebelum ini ie ikan bilis masak kicap....
Saya sangat menggemari ikan Tongkol, tetapi ramai juga yang alah kepada ikan Tongkol.
Bahannya
1/2 ekor ikan Tongkol (brt lebih kurang 600gm)
Potong dan rebus sebentar dengan garam dan 2 keping asam gelugor. Kemudian toskan ikan tersebut.
Bahan untuk dikisar
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
Halia sebesar ibu jari kaki
Kunyit hidup sebesar ibu jari tangan
4 sudu meja serbuk kari (saya guna Adabi)
3 tangkai daun kari
Minyak satu senduk (7 sudu meja)
250 gm kelapa parut untuk 300ml santan
1-2 bawang besar di potong
4 biji cili merah di belah empat
Caranya
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga naik bau dan kekuningan.
2. Masukkan daun kari dan serbuk kari, tumis lagi hingga sebati kari dan bahan tumisan tadi.
3. Masukkan ikan.
4. Masukkan santan.
5. Perasakan secukup rasa (perlu diingatkan yang ikan tadi telah direbus dengan garam).
6. Biarkan kuah agak pekat, masukkan bawang besar hiris dan cili besar.
Untuk kari ini saya tidak menggunakan rempah tumis. Cubalah, memang mudah.
No comments:
Post a Comment