Sunday 1 June 2014

RENDANG DAGING

Assalamualaikum semua, apa khabar?  Sekarang ni musim cuti sekolah dan di Sarawak pula sekarang adalah cuti umum sempena perayaan Hari Gawai.  Cuti umum sampai hari Selasa ni 3.6.2014.  Bagaimanapun, cuti umum kami masih juga bertugas untuk masyarakat.  Maka, cadangan di buat untuk sama-sama meraikan hari Gawai ketika bertugas hari Isnin ni, 2.6.2014.

 Hidangan yang dicadangkan sama ja, macam hari raya, cadangan nya saya buat rendang daging dan kawan-kawan yang lain bawa lemang, kuah kacang dan nasi himpit.  Sebenarnya sebelum ni ada saya kongsikan resepi rendang daging ni, tapi tak seronok rasanya sebab tidak disertai dengan gambar langkah demi langkah membuatnya.  Jadi hari ni saya nak kongsikan sekali lagi resepi ni.

Bahan-bahan untuk rendang daging
1.  Daging lembu (saya guna lebih kurang 1/2 kilo)
2.  Sedikit hati lembu
3.  Rempah untuk di sangai dan kemudiannya di kisar
      2 sudu makan ketumbar
      4 biji buah pekak
      2 kuntum bunga lawang
      2 inci kulit kayu manis
      8 biji cengkih
      sedikit jintan manis dan jintan putih.
4.  Bahan kisar
      4 sudu makan cili gili (kurang kan kalau tak mahu pedas, kalau mahu pedas boleh letak cili api sikit)
       8 ulas bawang merah
       1 - 2 inci halia
sebatang serai - di titik je
       1 sudu teh serbuk kunyit (guna kunyit hidup lagi sedap, tapi saya tak da pula hari ni)
        sedikit lengkuas (pun saya tak guna hari ni)
5.  1/2 kg kelapa parut.
      1/4 saya sangai untuk buat kerisik (beli dah siap pun ada, tapi saya lebih suka buat sendiri)  atau 2 sudu besar kerisik
         3/4 buat santan pekat satu mangkuk kecil dan selebihnya jadikan santan cair untuk merenih daging.

Santan pekat dan santan cair


Cara membuatnya

1.  Mula-mula kita sangaikan rempah (goreng tanpa minyak) dengan api sederhana sehingga garing, kisarkan dan ketepikan.









2.  Sediakan kerisik (kalau kerisik buat sendiri).



3.  Daging dan hati di potong dadu lebih kurang 1 inci.













4.  Renihkan daging dan hati tanpa air dengan sedikit garam, biar sampai air daging kering.








5.  Masukkan bahan kisar dengan santan cair dan biarkan mendidih dan kering.

6.  Bila kuah dah agak kering, masukkan santan pekat, rempah kisar dan kerisik dan biarkan mendidih, bila agak pekat kecilkan api kacau selalu supaya tak hangit sehingga rendang kering.


7. Perasakan dengan garam (serbuk perasa dan gula sesedap rasa ya, biasa nya saya tak letak pun).
Mak saya biasanya akan bubuh sedikit asam keping, terpulanglah pada selera ya.


Dah siap pun rendang kita.  Saya akui jarang saya memasak rendang ni, sebabnya prosesnya yang agak rumit, dan kerana itulah ianya amat istimewa untuk keluarga saya.  Semasa merenihkan rendang untuk proses mengeringkan kuah, sempat anak kedua saya mengusik "Mak esok nak solat raya kat masjid mana?'  begitulah istimewanya hidangan ini sehingga ianya adalah trademark hariraya bagi keluarga kami.  Biasanya untuk makan hariaan saya hanya menggunakan perencah rendang Adabi.  Suami pun hidung kembang kempis sambil menegur "Lain je bau masakan hari ni, macam kenal je baunya!"

Selera saya suka makan rendang ni dengan nasi himpit dan sayur lodeh.  Ada yang lebih suka makan dengan lemang atau pulut kukus.  Untuk mengetahui keenakannya, silalah cuba ya.  Sehingga kita berjumpa lagi.  Wassalam.

No comments:

Post a Comment